MALAYSIA

Cerita Kekeya: Tangan manusia melawan takdir iklim

Fauzi Zin 21/10/2025 | 01:45 MYT
Setelah lebih tiga dekad, Projek Penghijauan Gurun Kekeya di Aksu telah berjaya menjadikan gurun pasir sebagai oasis. - Gambar Astro AWANI/ FAUZI ZIN
ANDAI saya memilih tajuk artikel ‘Program penghijauan Kekeya berjaya’ barangkali, tidak ramai yang teruja untuk membaca tulisan ini sehingga ke perenggan terakhir.

Justeru, sengaja saya memilih tajuk seperti di atas, kerana artikel ini bukan sekadar tentang pokok, sebaliknya, ia mengenai harapan, ketabahan dan masa depan kita bersama.

Saya kini berada di Aksu, Xinjiang bersempena program ‘China Walk in Aksu’ untuk mengikuti beberapa program lawatan projek pertanian moden yang dijalankan di wilayah ini.

Dalam lawatan ini, saya berkesempatan untuk mendapat informasi berkaitan pelaksanaan projek pertanian moden di wilayah ini.

Seperti yang pernah saya tuliskan mengenai epal Aksu sebelum ini, projek pertanian di sini memang tidak terlepas daripada mengharungi cabaran iklim yang cukup getir.

Namun, satu perkara yang mencuri perhatian saya ialah barisan pokok yang tersusun rapi di kiri dan kanan jalan raya.

“Itulah pokok yang ditanam oleh komuniti Kekeya tiga generasi lalu untuk menahan ribut pasir dari Gurun Taklamakan,” ujar Satria, wartawan Kumpulan Media China (CMG).

Gambar terkini kawasan Kekeya yang kelihatan menghijau setelah ditanam pokok oleh tiga generasi.


Minat untuk menyelami lebih lanjut mengenai projek penghijauan itu akhirnya membawa saya ke Dewan Memorial Kekeya di bandar Aksu ini.

Kisah inspirasi Program Penghijauan Kekeya memang telah menjadi pedoman dalam pengetahuan masyarakat China, namun, ia tetap menimbulkan kekaguman apabila diselami sendiri.

Dari laut kematian ke tembok kehidupan

Kekeya terletak di Wensu, wilayah Aksu, Xinjiang - bersempadan dengan Gurun Taklamakan yang digelar “Laut Kematian.”

Dahulu, kawasan ini dilanda ribut pasir lebih 100 hari setahun, menjadikannya antara zon paling terancam di China.

Pada tahun 1986, wilayah Aksu melancarkan Projek Penghijauan Gurun Kekeya.

Ribuan penduduk daripada pelbagai etnik turun ke padang pasir dengan sekop dan sarung tangan.

Dengan kudrat tanpa bantuan mesin dan teknologi yang canggih, mereka gigih meratakan tanah, membina saliran air dan menanam pokok.

Dengan kudrat tanpa bantuan mesin dan teknologi yang canggih, mereka gigih meratakan tanah, membina saliran air dan menanam pokok. Bagi mereka, menanam pokok bukan pilihan, tetapi satu-satunya cara untuk terus hidup.


Bagi mereka, menanam pokok bukan pilihan, tetapi satu-satunya cara untuk terus hidup dan secara umumnya, hampir setiap orang di Kekeya pada ketika itu melakukan hal yang serupa.

Hasilnya, selepas lebih tiga dekad, liputan hutan meningkat daripada 3.35 peratus kepada 9.08 peratus.

Kini, berdiri megah di utara Gurun Taklamakan ialah “Tembok Hijau” seluas lebih sejuta ekar - bukan sahaja menahan pasir, tetapi menjadi simbol ketahanan manusia.

Yang lebih menyentuh hati, ketika saya bertanya apakah inisiatif mulia ini masih diteruskan, Satria menjawab: "Generasi muda kini terus menanam pokok secara sukarela, meskipun kawasan ini sudah menghijau. Ini sudah menjadi warisan budaya yang tak ternilai bagi kami."

Kekeya dan Teori Dua Gunung

Transformasi Kekeya bukan sekadar kejayaan ekologi, tetapi juga ekonomi. Konsep “Teori Dua Gunung” yang menyamakan gunung hijau dengan gunung emas dan perak, kini menjadi realiti di Aksu.

Dahulu tidak dikenali, Aksu kini menjadi pengeluar utama buah-buahan seperti epal teras gula batu dan walnut berkulit kertas, dengan nilai keluaran tahunan mencecah puluhan bilion Yuan.

Lebih 4.5 juta ekar tanah kini menjadi sumber buah berkualiti tinggi.

Model pembangunan Kekeya di mana penghijauan tidak berhenti walaupun generasi berganti - telah menjadi contoh nasional dan disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai salah sebuah daripada “500 Tempat Terbaik di Dunia.”

Apa yang Malaysia boleh belajar?

Bagi Malaysia yang memiliki khazanah hutan hujan tropika yang luas, kisah Kekeya mengingatkan kita tentang potensi besar untuk menjadi peneraju kredit karbon di Asia Tenggara.

Peluang dalam ekonomi hijau melalui ekopelancongan berkualiti dan keperluan mendokong matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui pemuliharaan alam sememangnya tidak boleh dipandang ringan.

Cerita kejayaan Kekeya membuktikan bahwa penghijauan berskala besar bukan sekadar berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin ekonomi hijau yang mampu merangsang ekonomi luar bandar, mengurangkan kemiskinan, dan menyediakan pekerjaan mampan untuk masa hadapan.

Kisah Kekeya jufa memberikan pemahaman bahawa dengan visi yang jelas dan konsistensi dalam pelaksanaan, manusia sebenarnya mampu mengubah takdir - bukan dengan menentang alam, tetapi belajar bekerjasama dengannya untuk membina masa depan yang lebih hijau dan sejahtera untuk semua.

Sudah tiba masanya kita menanam harapan dan iltizam untuk berubah, bukan sekadar pokok.

Dewan Memorial Kekeya menyimpan kisah perjuangan gigih tiga generasi penduduk yang mengubah gurun gersang menjadi taman hijau yang subur.




* Fauzi Zin dan jurukamera Fahmey Azhar kini mengikuti program China Walk in Aksu, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, China.




#Cerita Kekeya #Program Penghijauan Kekeya #China Walk in Aksu #Projek Pertanian Moden