GADGETS
Cermin mata pintar Apple dan Vision Pro mampu milik akan hanya tiba 2027 - Kuo
Menurut Kuo, cermin mata pintar pertama 'Apple Glass' akan tiba 2027 dan bukan 2026 seperti yang diramalkan sebelum ini. - Foto Amanz
CERMIN mata pintar diramalkan menjadi pengganti kepada telefon pintar. Ia boleh dipakai dan tidak lagi perlu dipegang.
Ray-Ban Meta membuktikan wujud pasaran untuk telefon pintar yang mempunyai kemampuan kecerdasan buatan (AI) terbina.
Penganalisis terkemuka Ming-Chi Kuo menerbitkan ramalan terbaru beliau yang mengatakan Apple akan menawarkan cermin mata pintar dan Vision Pro mampu milik mereka bermula 2027.
Menurut Kuo, cermin mata pintar pertama 'Apple Glass' akan tiba 2027 dan bukan 2026 seperti yang diramalkan sebelum ini.
Ia seperti Ray-Ban Meta dengan ia boleh dikawal menggunakan suara, merakam video, merakam gambar dan memainkan muzik.
Tetapi ia tidak dilengkapi skrin terbina pada kaca seperti prototaip cermin mata Android XR yang diperlihatkan di Google I/O pada Mei lalu.
Cermin mata XR pertama Apple akan hanya ditawarkan bermula 2028 dengan teknologi skrin terbina.
Tambah beliau lagi set kepala Vision Pro Air akan ditawarkan 2027 dengan ia diperbuat daripada plastik dan aloi magnesium bagi mengurangkan berat sehingga 40% berbanding Vision Pro asal.
Ia turut akan menggunakan cip siri Apple A dan bukannya Apple M.
Bercakap mengenai kemas kini Vision Pro pula, Kuo meramalkan ia akan mula dikilangkan pada Q3 2025 dengan cip Apple M5.
Tiada perubahan pada rekaan dan spesifikasi lain akan dilakukan.
Vision Pro Gen-2 dengan kemas kini perkakasan yang lebih besar hanya akan mula dikilangkan pada H2 2028.
Seperti Vision Pro Air, ia adalah lebih ringan tetapi dilengkapi cip siri Apple M.