MALAYSIA

Cerun maut: Projek di Sering Ukay hanya penstabilan cerun, tiada pembangunan baharu - MPAJ

Astro Awani 24/01/2026 | 06:07 MYT
Status kelulusan semasa didakwa hanya melibatkan kerja-kerja penstabilan cerun dan bukan pembangunan. -Gambar Astro AWANI
AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menasihati orang ramai supaya tidak bimbang dengan projek pembaikan cerun berskala besar yang sedang dijalankan di sekitar Taman Sering Ukay, Hulu Kelang.

Menurut wakil MPAJ yang hanya ingin dikenali sebagai Puan Nabila berkata, status kelulusan semasa hanya melibatkan kerja-kerja penstabilan cerun dan bukan pembangunan.

“Memang kita menerima permohonan untuk penstabilan cerun sahaja. Dari segi permohonan pembangunan, pembinaan parit dan jalan, semua itu MPAJ tidak terima daripada pemaju,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Ukay Perdana pada Sabtu.

Isu penstabilan cerun di kawasan itu sebelum ini menjadi tumpuan menerusi "Laporan Khas AWANI: Cerun Maut, malapetaka mengintai Sering Ukay?" yang menyorot kebimbangan penduduk susulan kerja-kerja penggondolan bukit.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah dakwaan penggunaan "teknologi baharu" bagi kerja-kerja penstabilan cerun yang dikaitkan dengan IKRAM Sdn Bhd, yang didakwa belum pernah dipraktikkan sebelum ini.

Penasihat Undang-Undang BATF, Azlan Kamis mempersoalkan kesahihan dan ketelusan teknologi IKRAM yang didakwa digunakan bagi penstabilan cerun di Sering Ukay.


Mengulas perkara itu, Puan Nabila berkata MPAJ tidak menerima sebarang cadangan berkaitan penggunaan teknologi yang dimaksudkan itu.

“Perkara itu perlu dirujuk kepada IKRAM. Setakat ini, IKRAM hanya diminta memberikan pandangan teknikal dan tidak terlibat secara langsung dalam sebarang pembangunan dan juga pemaju," tambahnya.

Laporan penuh:







#Cerun maut #Sering Ukay #laporan khas #MPAJ