CES 2019: Twitter akan perkenalkan ciri 'bualan'

Ibrahim Sani
Januari 8, 2019 22:38 MYT
Twitter adalah antara ribuan syarikat yang sedang mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di pameran CES 2019 di Las Vegas. Gambar Hiasan
Twitter melancarkan program baharu bagi membolehkan pengguna membentuk semula perbualan di laman webnya, menurut syarikat media sosial itu ketika mengumumkannya di CES 2019 pada Selasa.
Ketika ini, Twitter berada jauh di belakang Facebook dan Instagram dari segi pengguna harian.
Beberapa kajian meletakkan Facebook sebagai mempunyai 1.4 bilion pengguna dan Instagram 1.0 bilion pengguna. Sebaliknya, Twitter hanya ada 300 juta pengguna.
Beberapa penganalisis sektor teknologi menyatakan bahawa disebabkan ciri-ciri yang diberikan Twitter hanya sedikit berbanding Facebook dan Instagram, ini mengekang pertumbuhan syarikat itu dari segi pertambahan pengguna.

Apakah ciri 'bualan' Twitter?
Pengguna boleh menyusun corak perbualan dan cara untuk memberi 'konteks' kepada setiap cara bualan dengan pengikut mereka, seperti kemas kini status dan tweet 'permulaan perbicaraan' atau 'ice-breaker tweets'.
Ini adalah antara cara-cara Twitter menggalakkan orang ramai untuk berbicara antara satu sama lain.
Twitter menyatakan bahawa mereka akan menguji ciri 'bualan' ini dalam dua atau tiga minggu yang akan datang.
Bagaimanapun, disebabkan ciri bualan ini berada pada tahap ujian, bukan semua pengguna boleh menggunakan ciri terbaharu ini.
Twitter menyatakan pengguna boleh memohon untuk menggunakan ciri ini tetapi mungkin tidak mampu memperolehinya kerana hanya beberapa ribu pengguna sahaja yang akan dibenarkan menggunakan ciri terbaharu ini, buat masa ini.
#Bualan #ces #ces 2019 #Facebook #ibrahim sani #Instagram #Las Vegas #Media #Tweet #Twitter