MALAYSIA

Chegubard ditahan, disiasat berhubung ceramah berunsur hasutan

Sinar Harian 06/09/2025 | 02:30 MYT
Chegubard ditahan polis selepas video ceramahnya berunsur hasutan terhadap institusi diraja tular. - Foto fail/Astro AWANI
SHAH ALAM: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan polis pada Jumaat selepas dipercayai menyampaikan ceramah berunsur hasutan dan membuat dakwaan tidak berasas berhubung institusi diraja.

Penahanan lelaki berusia 47 tahun itu dibuat kira-kira jam 10.25 malam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya mengesan video ceramah tersebut tular pada Khamis yang memaparkan Chegubard sedang menyampaikan ucapan berunsur hasutan.

Menurutnya, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada Sabtu.

“Siasatan berhubung penularan video itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman sejurus laporan diterima.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di negara ini. - Sinar Harian






#Chegubard #ceramah #hasutan #institusi diraja