NATIONAL

China lihat potensi besar kerjasama ekonomi bersama Malaysia dan ASEAN

Yasmin Natasha 27/05/2025 | 11:18 MYT
Kerjasama tiga pihak antara China, ASEAN dan GCC dijangka membawa manfaat besar. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: China melihat kerjasama ekonomi bersama Malaysia dan rantau ASEAN sebagai peluang strategik, bukan sahaja dalam sektor pertanian seperti durian, tetapi juga dalam bidang teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV).

Wartawan Kumpulan Media China, Zhang Hong berkata, walaupun ekonomi domestik China belum pulih sepenuhnya, potensi pasaran dalaman negara itu masih luas dan memberi peluang besar bukan sahaja kepada pemain industri China, tetapi juga rakan dagang luar seperti Malaysia.

“Durian adalah contoh yang menarik. Dulu hanya Thailand mendominasi pasaran durian di China, kini kita lihat Malaysia, Vietnam dan Filipina juga mula menembusi pasaran. Durian Malaysia, terutamanya Musang King, walaupun mahal, tetap mempunyai permintaan tinggi.

"Kerjasama dua hala Malaysia-China dalam eksport durian kini semakin berkembang, hasil kemajuan teknologi logistik seperti penghantaran kargo udara yang membolehkan buah segar sampai terus ke pasaran China," katanya semasa wawancara khas bersama Astro AWANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang turut dikenali sebagai Satria berkata, selain sektor pertanian, China melihat Malaysia sebagai rakan strategik dalam teknologi masa depan, termasuk cip AI, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan EV.

“China kini menerajui lebih 70 peratus pasaran tenaga solar fotovoltaik dunia. Negara-negara GCC seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu sudah mula melaksanakan projek besar bersama China dalam tenaga hijau - dan kerjasama tiga pihak antara China, ASEAN dan GCC dijangka membawa manfaat besar,” jelasnya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa China menghasilkan EV secara berlebihan, sebaliknya menegaskan permintaan global terhadap kenderaan hijau masih belum dipenuhi sepenuhnya.

“Contohnya di Asia Tenggara, ramai masih belum memiliki EV. Di Malaysia, kos petrol yang masih rendah menyebabkan peralihan agak perlahan, tetapi potensi pasaran EV tetap besar,” katanya lagi.

Tambahnya, China melihat ASEAN sebagai rakan dagang penting melalui pelbagai mekanisme kerjasama seperti ASEAN+1, ASEAN+3, dan RCEP.

Katanya, usaha memperkukuh kerjasama tiga hala dengan GCC juga dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk memperluas pengaruh dan manfaat ekonomi bersama.

“Kerjasama pelbagai hala ini bukan sahaja memperkukuh hubungan perdagangan, tetapi juga membawa pembangunan mampan dan saling melengkapi antara rantau-rantau besar dunia,” ujarnya.



#kecerdasan buatan #China #ASEAN25 #ASEAN 2025