NATIONAL
China sedia tandatangani peningkatan ACFTA dengan ASEAN secepat mungkin - Xi Jinping
Perdana Menteri Anwar (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Xi Jinping pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan China di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden China, Xi Jinping berkata, China menyokong Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dan bersedia menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dengan negara serantau secepat mungkin.
Beliau berkata, China dan ASEAN akan menolak penyahgandingan, gangguan bekalan, penyalahgunaan tarif serta menentang amalan undang-undang rimba dengan mengamalkan keterbukaan, keterangkuman, perpaduan dan kerjasama.
China akan bekerjasama dengan ASEAN untuk menangani ketidaktentuan dan ketidakstabilan global dengan kestabilan dan kepastian di Asia, tambah beliau.
Menurut Kementerian Luar China dalam satu kenyataan di laman sesawangnya, Xi berkata demikian semasa rundingan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Rabu sempena lawatan negara beliau selama tiga hari ke Malaysia yang bermula Selasa.
Xi turut berkata, tema ASEAN yang dipilih Malaysia tahun ini, "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan wawasannya yang mendalam terhadap landskap antarabangsa semasa.
-- BERNAMA