Seorang guru wanita panik dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas dipercayai 'digigit' seekor ular.

Mangsa diserang reptilia itu semasa mengambil barang di dalam stor di sebuah sekolah dekat Mergong, di sini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail guru berkenaan tiba di hospital dalam keadaan mengerang kesakitan sambil memegang kaki kirinya.

Bagaimanapun selepas 12 jam menerima rawatan, pihak hospital mengesahkan bahawa guru tersebut tidak dipatuk ular berbisa.

Mangsa sebelum itu turut mengadu rasa kebas di bahagian kaki kiri sebelum ditempatkan di wad kira-kira pukul 11 malam.

Guru berkenaan dibenarkan pulang tengah hari tadi.

BACA: Ular 'panas' ceroboh rumah meningkat

BACA: Ular suka kawasan lembap seperti kediaman semasa cuaca panas melampau

BACA: Semua yang anda perlu tahu tentang patukan ular

Di Kelantan pada Selasa, pelajar perempuan tahun satu Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Nuriey Nadhirah Roslan, 7, meninggal dunia akibat dipatuk ular.

Pelajar berkenaan dikatakan dipatuk ular atau binatang berbisa di bahagian betis sekitar jam 10 pagi ketika bermain di kawasan sekolahnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa sebelum di rujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.