MALAYSIA

CIMB Islamic komited RM20 juta untuk alam sekitar

Malekah Aisyah 27/01/2026 | 08:52 MYT
CIMB Islamic peruntuk RM20 juta melalui 12 rakan strategik bagi memacu inisiatif pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar di seluruh Malaysia, sempena CIMB Islamic Green Showcase diperkasa EcoSave-i. - Foto CIMB Islamic Bank Bhd
KUALA LUMPUR: Di sebalik usaha memelihara hutan, sungai dan komuniti setempat, pembiayaan jangka panjang menjadi tunjang kepada kelestarian alam sekitar.


Ringkasan AI
  • CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan RM20 juta bagi memacu inisiatif pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar di seluruh negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
  • Komitmen tersebut disalurkan menerusi EcoSave-i, akaun simpanan Bank itu, sekali gus menegaskan dedikasi jangka panjang CIMB Islamic terhadap pembiayaan bertanggungjawab, pemerkasaan komuniti, pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan, selari dengan aspirasi CIMB Group untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.
  • Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pelaburan itu memperluas portfolio pemuliharaan Bank yang kian berkembang, meliputi perlindungan biodiversiti serta program alam sekitar berasaskan komuniti di lapan negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Terengganu dan Sabah.


Atas keperluan itu, CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan RM20 juta bagi memacu inisiatif pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar di seluruh negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Komitmen tersebut disalurkan menerusi EcoSave-i, akaun simpanan bank itu, sekali gus menegaskan dedikasi jangka panjang CIMB Islamic terhadap pembiayaan bertanggungjawab, pemerkasaan komuniti, pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan, selari dengan aspirasi CIMB Group untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pelaburan itu memperluas portfolio pemuliharaan Bank yang kian berkembang, meliputi perlindungan biodiversiti serta program alam sekitar berasaskan komuniti di lapan negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Terengganu dan Sabah.

Menurut Ahmad Shahriman, inisiatif terbaharu turut merangkumi kawasan hutan hujan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Projek Penjaga Gunung, yang melatih komuniti Orang Asli untuk menjaga Central Forest Spine. Di utara pula, usaha bermula di Habitat Pulau Pinang dan Rizab Biosfera Bukit Bendera kini diperluas ke Taman Negeri Royal Belum dengan kerjasama The Habitat Foundation.

“Kluster seterusnya melibatkan Sabah serta Pantai Timur termasuk Setiu dan pulau-pulau di Semenanjung Malaysia.

“Misi kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat berteraskan pemeliharaan alam sekitar serta daya tahan komuniti. Menerusi EcoSave-i, kami melaksanakan prinsip Syariah dengan mengintegrasikan kelestarian dalam amalan perbankan harian.

“Pelaburan RM20 juta ini menegaskan kepercayaan kami bahawa kelestarian merupakan lensa utama dalam pengagihan modal.

“Dengan menerapkan prinsip ini dalam penawaran kewangan teras kami, kami menyokong pembangunan yang inklusif, bertanggungjawab dan berdaya tahan dari segi ekologi untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui media di Majlis CIMB Islamic Green Showcase yang diadakan di Taman Tugu, di sini, pada Sabtu.

(Dari kiri) Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat & Sokongan Khazanah Nasional Berhad, Fizulin Mohamed Zin; Pengerusi CIMB Islamic, Datin Azlina Mahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff ketika sesi menanam pokok di Taman Tugu, Kuala Lumpur sempena CIMB Islamic Green Showcase diperkasa EcoSave-i. - Foto CIMB Islamic Bank Bhd


Komitmen menerusi EcoSave-i ini turut membolehkan CIMB Islamic memperluas sokongan dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur, merangkumi pemulihan hutan, perlindungan kawasan tadahan air serta penglibatan aktif komuniti setempat.

Mengulas lanjut Ahmad Shahriman berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut disokong oleh rangkaian rakan strategik di seluruh negara, termasuk WWF Malaysia dan Malaysia Nature Society di peringkat nasional.

“Di utara, kami bekerjasama dengan Penang Institute dan The Habitat Foundation. Bagi Central Forest Spine, kerjasama melibatkan Forest House dan UPSI.

“Di Sabah, kami bekerjasama dengan organisasi tempatan, manakala di Terengganu bersama WWF dan Reef Check.

“Di Taman Tugu pula, kerjasama melibatkan AWAN dan Yayasan Khazanah,” jelasnya.

Majlis berkenaan turut menghimpunkan pelbagai rakan pemuliharaan alam sekitar termasuk Amanah Warisan Negara (AWAN), The Habitat Foundation, Reef Check Malaysia, UPSI, Malaysia Nature Society, WWF-Malaysia, Malaysia Forest Fund, Forest House, Leap Spiral, Your Idea Maker, Free Tree Society dan Penang Institute.

Pada majlis sama, CIMB Islamic turut memperbaharui perjanjian bersama AWAN bagi meneruskan Program Pengangkatan Taman Tugu dan Pendidikan Alam Semula Jadi untuk tempoh dua tahun lagi, sekali gus memperkukuh peranan Taman Tugu sebagai ruang pembelajaran dan rekreasi alam semula jadi di tengah Kuala Lumpur.

EcoSave-i merupakan akaun simpanan Islamik pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada alam sekitar dan menjadi sebahagian daripada rangka kerja Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial dan Lestari (GSSIPS) Kumpulan CIMB, yang menyasarkan penggemblengan pembiayaan mampan bernilai RM300 bilion menjelang 2030.

Untuk maklumat lanjut mengenai EcoSave-i, layari www.cimb.com.my/ecosave .



#CIMB Islamic Bank Berhad #peruntukkan #pemulihan alam sekitar #EcoSave-i #perbankan #Masyarakat