Cipta sejarah, PPV WTCKL beri suntikan kesejuta vaksin AstraZeneca

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 29, 2021 09:46 MYT
Zamzratulazmi menjadi penerima suntikan dos vaksin AstraZeneca kesejuta di PPV WTCKL hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mencatat sejarah apabila berjaya memberikan dos vaksin AstraZeneca COVID-19 kesejuta hari ini.
Detik bersejarah itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi ketika suntikan kesejuta itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hishamshah Ibrahim kepada penerimanya Zamratulazmi Sarmadi, 38.
“Saya datang untuk melihat sendiri penerimaan vaksin kesejuta dos kedua di PPV WTC. Saya ucap tahniah kepada PPV WTC kerana hari ini telah berjaya mencapai satu juta dos,” jelas Perdana Menteri dalam sidang media selepas majlis tersebut.
[TERKINI] PPV WTC KL capai 1 juta dos pemberian vaksin COVID-19
Sementara itu Zamratulazmi yang ditemui masih terkejut dengan pengumuman dan majlis yang diadakan kerana tidak menyangka beliau adalah individu yang akan menerima suntikan bersejarah tersebut.
“Saya tidak tahupun sebenarnya, cuma menerima panggilan daripada pihak PPV pagi tadi supaya datang lebih awal hari ini. Saya fikir itu mungkin biasa sehinggalah sampai di stesen kedua baharu diberitahu bahawa saya penerima kesejuta dan tidak sangka ada majlis untuk suntikan ini,” jelasnya yang menganggap suntikan hari ini sangat bermakna kerana disaksikan oleh Perdana Menteri.
Perdana Menteri dalam masa yang sama memuji pencapaian PPV WTCKL dan akan memastikan program vaksinasi sedia ada ketika ini akan diperkasakan dari semasa ke semasa.
PPV WTCKL memulakan operasi pada skala kecil diawalnya iaitu hanya memberikan kurang 2,000 dos suntikan sehari pada 5 Mei lalu, namun pencapaian dan kemampuan itu semakin ditambah sehingga mampu mencapai kapasiti penerima sehingga 20,000 hari ini.
Ia juga merupakan yang pertama di negara ini dan antara paling awal di antara 672 PPV yang beroperasi di seluruh negara ketika ini.
Setakat semalam jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah mencecah angka sebanyak 33,724,744 dos.
#COVID-19 #vaksin #PWTCKL #suntikan kesejuta