IPOH: Keadaan di laluan sekitar Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang suram dan kurang pencahayaan selama ini secara tidak langsung menjejaskan imej negara, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Menurut beliau, walaupun situasi itu hanya berlaku di pintu sempadan darat Malaysia-Thailand namun ia memberi gambaran negatif kepada pelancong asing, seolah-olah senario yang sama membabitkan seluruh kawasan di negara ini.

"Sebelum kita nak sampai ke CIQ ialah tempat pengesahan pasport, namun kawasan itu agak gelap dan perlu pencahayaan, kompleks berkenaan gelap, sebelum sampai ke Pengkalan Hulu.

"Pelancong yang datang ke Pengkalan Hulu, tidak menyebut datang ke Pengkalan Hulu, Perak tapi sebut Malaysia. Jadi bayangkan tanggapan pertama mereka, takkan Malaysia gelap macam ini?

"Padahal yang gelap itu hanya di sempadan Pengkalan Hulu, Malaysia ini sebenarnya di Perak seperti Ipoh dan Kuala Lumpur maju. Apabila pelancong datang ke Pengkalan Hulu, dia bayangkan Malaysia berada dalam kegelapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam talian selepas sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini, pada Selasa.

Aznel turut berharap supaya kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sewajarnya untuk menghidupkan kembali kawasan terbabit.

"Pada tahun 2020 bandar sempadan Pengkalan Hulu telah ada kelulusan sebanyak RM1.5 juta, ketika itu berlaku pandemik dan kita tidak boleh jalankan apa-apa kerja. Tahun seterusnya pula, peruntukan itu telah ditarik balik, sehingga hari ini tiada peruntukan di kawasan tersebut.

"Saya minta kerajaan negeri melihat semula perkara tersebut agar dipertimbangkan peruntukan tambahan, mungkin ada tahun ini untuk kita buat kerja-kerja pencahayaan dahulu.

"Ia bagi mengelakkan daripada ketidaksesuaian keadaan pintu masuk negara Malaysia-Thailand di situ," katanya lagi.

Terdahulu, dalam sesi perbahasan pada sidang DUN, Aznel menyentuh beberapa isu seperti pembangunan rumah kos rendah dan mampu milik, peluang pekerjaan serta pertanian.