Kenyataan media yang dikeluarkan Presiden Badan Peguam, Steven Thiru, pada 20 Mac lalu berkenaan hukum hudud menerima satu lagi reaksi bantahan dan kali ini daripada Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

CLJ memberitahu, perdebatan yang tidak berpenghujung mengenai sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam adalah tidak relevan untuk mempersoalkan mengenai pelaksanaan hudud.

“Sebagai contoh dalam kanun berkaitan jenayah bestiality (seks dengan binatang) yang diimport British melalui India, walaupun sifatnya sekular namun berasaskan konsep moral agama Kristian,” kata kenyataan itu.

Tambah CLJ, selepas setengah kurun kemerdekaan, seseorang seharusnya faham bahawa tidak patut wujud sebarang halangan bagi badan perundangan di negara ini, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Ini termasuk untuk meluluskan undang-undang berasaskan prinsip-prinsip Islam, terutamanya mengambil kira fakta bahawa Islam itu agama Persekutuan.

CLJ selanjutnya menyatakan, kedudukan Islam dalam kerangka Perlembagaan telah dijelaskan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dan institusi rasmi negeri selain telah lama wujud untuk menguruskan hal-ehwal Islam.

“Hudud tidaklah bertentangan dengan Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan kerana perkataan ‘undang-undang’ seperti yang dinyatakan dalam Artikel 160(2) menyertakan undang-undang bertulis seperti perundangan kerajaan negeri seperti Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015,” kata kenyataan itu.

Tambah CLJ, hudud tidak melanggar larangan Perlembagaan mengenai pendakwaan dua kali mahupun membentuk replikasi sebarang kesalahan yang sudah wujud peruntukannya di bawah undang-undang Persekutuan.

Hudud, menurut CLJ, tidak melanggar prinsip kesaksamaan di bawah Artikel 8(1) yang dalam kes-kes sebelum ini telah menegaskan ujian klasifikasi munasabah yang turut terbahagi kepada dua – intelligible differentia atau perkara yang perlu digubal atau tidak. Dalam kes ini, ia merujuk kepada orang Islam dan tidak untuk orang bukan Islam.

"Kedua, sama ada perbezaan itu secara rasionalnya berkait dengan objek perundangan. Dalam kes ini, orang Islam yang memilih untuk diadili mengikut undang-undang Islam, termasuk hudud," kata CLJ.

Tambah kenyataan tersebut, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk membahagikan hal-ehwal perundangan kepada kerajaan negeri, misalnya melalui Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Tidak ada sebab untuk Mahkamah Syariah tidak boleh diperkukuhkan fungsinya untuk menjatuhkan hukuman yang mengikut undang-undang kanun Islam yang mahu dilaksanakan,” terang CLJ.

Kenyataan Steven yang berjudul “Hudud is unconstitutional, discriminatory and divisive.” (Hudud tidak mengikut Perlembagaan, mendiskriminasi dan memecahbelahkan) itu didapati dibuat berdasarkan pemahaman yang salah tentang undang-undang asas, kesilapan mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan juga prinsip hudud itu sendiri.

Semalam, pihak Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) melalui Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut menzahirkan rasa kurang senang dengan kenyataan media daripada Steven tersebut.

“Harus ditekankan, dalam sistem demokrasi seperti negara kita, rakyat mempunyai hak ke atas mana-mana sistem keadilan jenayah yang mereka mahukan selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikatnya, hudud mengukuhkan Perlembagaan,” rumus CLJ.

**KENYATAAN MEDIA PENUH DARIPADA CLJ DI PAUTAN INI