Cloud KBS digodam, Hannah sahkan tiada ketirisan data

Bernama
Mac 18, 2024 06:20 MYT
Hannah berkata pihaknya telah melaporkan perkara berkenaan kepada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan dan Keselamatan Siber Malaysia sebaik kejadian itu berlaku. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengakui aplikasi Cloud agensi berkenaan telah digodam Sabtu lepas (16 Mac) namun mengesahkan tiada sebarang kebocoran data peribadi susulan ancaman tersebut.
Menterinya Hannah Yeoh berkata pihaknya telah melaporkan perkara berkenaan kepada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan dan Keselamatan Siber Malaysia sebaik kejadian itu berlaku.
"KBS telah mengambil tindakan segera dan buat masa ini keadaan terkawal melalui beberapa intervensi teknikal.
"Fail yang digodam hanya beberapa fail pentadbiran sahaja...tidak melibatkan parti-parti lain ataupun informasi peribadi ," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Le Tour de Langkawi 2024 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.
Sebelum ini tular hantaran di platform Telegram oleh kumpulan dikenali sebagai R00TK1T yang mendakwa telah berjaya mengodam data aplikasi Cloud KBS.
-- BERNAMA
#Hannah Yeoh #Cloud KBS #godam #ketirisan data