KEPALA BATAS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta Kerajaan Pulau Pinang mengemukakan jenis industri yang akan dibangunkan di dalam kawasan Bertam susulan cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) dikawasan tersebut.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau sendiri mahu meneliti dan melihat  industri apa yang akan dibawa masuk ke kawasan yang berdekatan dengan kampung tradisi dan kediaman lama itu.

Katanya, penjelasan yang lebih terperinci mengenai projek tersebut perlu agar penduduk setempat jelas dengan pembangunan yang mahu dibawa ke kawasan mereka.

Reezal Merican berkata, pihaknya hanya bersetuju jika industri yang dibawa ke kawasannya berteraskan teknologi tinggi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk tenaga mahir sahaja.

"Kita tidak mahu tempat yang mempunyai kebanjiran pekerja tidak mahir yang terlalu banyak, maka sebab itu saya sendiri akan melihat dan meneliti dan minta supaya kerajaan negeri akan memberi kepada saya apakah jenis industri yang nak datang ke sini.

"Sebagai pemimpin saya tidak menolak untuk melihat industri yang nak hadir tetapi biarlah ia yang berteraskan teknologi tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata pemaju yang ingin membangunkan sebarang projek di situ perlu membuat Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaannya akan memberi kemudaratan dari segi kesan sosial atau sebaliknya.

"Mereka hendak buat projek ini mereka kena buat sosial impact assessment dahulu, dalam SIA ini ia tentu   akan dilihat oleh pihak terbabit, kerajaan negeri, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, ini semua jabatan yang akan berada  dan akan buat penilaian.

"Saya fikir akhirnya matlamat untuk melakukan itu perlu benar-benar difahami rakyat dan dipersetujui rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan cadangan pembinaan CLQ pada Program Santai Anak Muda dan Majlis Perasmian Esports Youth Cabin di Wisma UMNO Kepala Batas, malam tadi.

Sebelum ini, penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam, membantah cadangan pembinaan CLQ berhampiran Taman Mekar Sari, di Bertam berikutan bimbang wujud pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak.

Difahamkan, projek pembangunan itu yang dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang mempunyai dua pakej.

Pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua melibatkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.

Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang telah mengadakan sesi pendengaran umum dan memaklumkan akan mengambil kira semua pandangan dan pendapat daripada penduduk berhubung cadangan pembinaan CLQ berkenaan.