KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, diberitahu wang berjumlah RM2 juta yang diberikan kod nama 'coklat' yang didakwa diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebenarnya dibayar kepada pihak lain.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, berkata dua saksi pendakwaan iaitu Azli Adam dan Ibrahim Sahari, dalam perbicaraan kes tipu membabitkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, mengesahkan wang berkenaan diberikan kepada orang lain.

"Dalam perbicaraan kes ini di mahkamah ini, Azli dan Ibrahim, masing-masing merupakan saksi pendakwaan ke-28 dan ke-29, memberi keterangan bahawa RM2 juta itu diberikan kepada Lim.

"Tetapi, ketika memberi keterangan di Mahkamah Shah Alam, mereka berdua mengesahkan wang itu diberikan kepada orang lain. Sehubungan itu, saya mahu mahkamah ini memainkan dua klip video berhubung keterangan Azli dan Ibrahim di Mahkamah Shah Alam bagi mengetahui pembohongan yang diberitahu mereka kepada mahkamah ini," katanya.

Peguam itu berkata demikian ketika menyoal saksi pendakwaan kelapan iaitu pegawai penyiasat Jabatan Forensik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof ,pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Bagaimanapun, permohonon untuk memainkan video berkenaan dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dengan alasan video itu tidak relevan dengan Wan Mohd Firdaus.

Hakim Azura Alwi juga mempersoalkan keperluan memainkan video berkenaan kepada saksi (Wan Mohd Firdaus) kerana beliau hanya boleh memberi pandangannya berhubung video berkenaan.

Gobind kemudian memohon saksi berkenaan mengemukakan salinan perbualan WhatsApp di antara Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dengan Gnanaraja, pada 17 Ogos 2017 yang dipercayai mempunyai "bukti" bahawa "coklat" RM2 juta itu bukan untuk Lim tetapi untuk orang lain.

Mahkamah mengarahkan saksi itu mengemukakan salinan perbualan WhatsApp berkenaan pada perbicaraan esok.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

- BERNAMA