[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

COO Prolintas didenda RM100,000, terima rasuah projek lebuh raya

Asyraf Malik 25/06/2025 | 06:09 MYT
Rostam Shahrif Tami digantung tugas daripada syarikat konsesi lebuh raya, Prolintas sejak 9 Julai 2024. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) Prolintas dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menerima suapan RM90,000 daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd berkenaan pakej kerja Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Ringkasan AI
  • COO Prolintas, Rostam Shahrif Tami, dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 selepas mengaku bersalah menerima suapan RM90,000 berkaitan projek SUKE, melanggar Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.
  • Beliau turut bersetuju melucutkan hak ke atas aset bernilai hampir RM1.3 juta, termasuk wang tunai, jam tangan mewah, kereta, dan simpanan Tabung Haji yang dikaitkan dengan kesalahan tersebut.
  • Tertuduh merayu agar tidak dipenjara atas alasan tanggungan keluarga dan masalah kesihatan, manakala pihak pendakwa menekankan kepentingan awam dalam pemberian hukuman tegas.

Tertuduh, Rostam Shahrif Tami dikatakan gagal melaporkan pemberian rasuah pada 20 Februari 2023 itu yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.
Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman denda selepas mengambil kira hujahan tertuduh dan faktor pemberatan pendakwa raya.
Menurut peguam Zulkifli Ahmad, anak guamnya bersetuju supaya dilucutkan hak pemilikan harta disita yang berkaitan kesalahan disiasat iaitu wang tunai berjumlah hampir RM1 juta.
Serta bon bernilai RM114,000 untuk tujuh utas jam tangan mewah dan dua buah kereta atas nama anak perempuan tertuduh serta dana RM180,000 di dalam akaun Tabung Haji miliknya.
Tertuduh mengemukakan rayuan untuk tidak dipenjara atas sebab perlu menyara lima orang anak, selain mengalami masalah kesihatan darah tinggi, dia juga memiliki rekod bersih sepanjang bekerja di Prolintas sejak 1998.
Tertuduh juga menzahirkan penyesalan atas perbuatan dilakukan yang turut mencemarkan nama baiknya.
Timbalan Pendakwa raya, Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal dikenakan kerana ia meliputi kepentingan awam serta memberikan amaran kepada masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan sama.
Difahamkan tertuduh memberikan kerja No 3 bertajuk 'To Construct End Cap Stressing And Shear Block' kepada syarikat terbabit, kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran sekitar Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.
#projek lebuh raya #terima suapan #SPRM #PROLINTAS #terkini #Rostam Shahrif Tami