KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 103 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 27,525 kes.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sejumlah 26 daripada 103 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak kerana ada di antara kes meninggal dunia itu berlaku beberapa minggu lalu.

Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik itu, mengambil masa.

Namun, tiada kes kematian harian dilaporkan semalam.

Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksinasi serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sejumlah 66.1 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19.