KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu positif COVID-19 di Malaysia terus merekodkan angka melebihi 10,000 kes apabila  10,710 kes dilaporkan sepanjang 24 jam lalu.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes kumulatif negara kini ialah 916,561 kes.

Menurutnya, Selangor terus mencatatkan kes tertinggi harian dengan 4,828 kes.

Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 945 kes, Johor; 808 kes, Negeri Sembilan; 771 kes , Kedah ; 696 dan Sabah ; 666 kes. 






Dalam pada itu, angka kematian akibat COVID-19 negara merekodkan 153 kes, jumlah tertinggi setakat ini. 

Ia menjadikan jumlah kes kematian akibat virus itu di Malaysia setakat ini ialah 7,019 kes.

Sementara itu, kes sembuh pada Ahad pula adalah 5,778 kes menjadikan jumlah kes yang sembuh sepenuhnya ialah 784,949 kes.

Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula masih mencatat angka membimbangkan dengan 909 kes masih dirawat dan 445 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Noor Hisham memaklumkan daripada 10,710 kes baharu direkodkan pada Ahad, 95 kes atau 0.9 peratus berada dalam kategori lima (kritikal dan perlukan ventilator).

Majoriti kes berada pada Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan) dengan 6,317 kes (59 peratus) pada Kategori 1 manakala 4,162 kes (38.9 peratus) pada Kategori 2.