KUALA LUMPUR: Sarawak kekal merekodkan kes harian positif COVID-19 tiga angka dengan 183 kes menjadikan negeri itu sebagai negeri kedua tertinggi selepas Selangor dengan 323 kes.

Sibu merekodkan 73 kes diikuti Miri (22), Bintulu (17), Kapit (17), Julau (12), Kuching (12), Meradong (tujuh), Betong (enam), Samarahan (empat), Sarikei dan Selangau (tiga), Saratok dan Sri Aman (dua) manakala satu kes di Belaga, Dalat dan Tanjung Manis.

Menurut laporan harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa, tiga kematian di Hospital Sibu direkodkan menjadikan jumlah kematian kepada 94 kes.

Ketiga-tiga kes dilaporkan meninggal dunia pada 15 Mac 2021 dan mempunyai ko-morbid seperti darah tinggi, penyakit jantung, panyakit paru-paru dan kencing manis.

“Kes kematian ke-92 merupakan kes 7,674 berusia 72 tahun dan disahkan positif pada 19 Februari 2021 sementara kes kematian ke-93 melibatkan kes 11,319 berusia 84 tahun dan dimasukkan kes hospital selepas disahkan positif pada 8 Mac 2021.

“Manakala kes kematian ke-94 berusia 69 tahun merupakan kes 9,492 yang disahkan positif pada 27 Februari 2021,” kata kenyataan itu.

Selain itu, tiga kluster baharu melibatkan Kluster Nanga Bulo di Julau dan Kluster Kampung Hilir dan Kluster Jalan Sanyan di Sibu.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kluster aktif di Sarawak meningkat kepada 31.

“Kluster Nanga Bulo merupakan kluster komuniti melibatkan tiga rumah panjang di Naga Bulo, Entabai.

“Kes indeks kluster ini merupakan kes 11,474 yang dikesan menerusi sarngan individu bergejala pada 8 Mac 2021 di Hospital Sibu.

“Setakat ini 34 kes positif direkodkan menerusi saringan ke atas 160 individu manakala 126 disahkan negatif.

Manakala Kluster Kampung Hilir di Sibu merupakan kluster komuniti dikesan menerusi kes indeks 11,947 yang disahkan positif pada 10 Mac 2021.

Sehingga kini, 41 kontak rapat telah disaring dengan 35 disahkan positif, empat kes negatif dan dua individu masih menunggu keputusan ujian makmal.

Bagi Kluster Jalan Sanyan di Sibu, kes indeks merupakan kes 10,332 yang dikesan menerusi saringan individu bergejala pada 4 Mac 2021.

19 kontak rapat telah disaring dengan kesemuanya disahkan positif COVID-19.