KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara terus mencecah empat angka dengan jumlah kes positif yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam ialah sebanyak 2,195 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jumlah berkenaan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini ialah sebanyak 372,859 kes.

"Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 508 kes atau 23.1 peratus. Daripada jumlah ini, sebanyak 372 kes atau 73.2 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 431 kes atau 19.6 peratus dan Johor sebanyak 387 kes atau 17.6 peratus.

"Sebanyak 18 kes atau 0.8 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Jalan Salleh (11 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (5 kes), Kluster Tembok Sri Aman (1 kes), dan Kluster DTI Lenggeng (1 kes)," katanya dalam kenyataan harian berkaitan kes COVID-19.

Manakala jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 1,427 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 353,822 atau 94.3 peratus.

"Terdapat lapan kes kematian pada hari ini yang melibatkan masing-masing dua kes di Selangor dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kesemua kes melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka," katanya lagi.

Jumlah kes aktif sebanyak 19,854 dengan 219 menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 90 individu memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak lima kluster baharu direkodkan manakala 14 kluster pula diisytiharkan tamat.





Berikut pecahan setiap negeri:

Selangor - 431 (123,589)

Sabah - 112 (56,785)

Johor - 387 (43,316)

WP KL - 176 (40,092)

Sarawak - 508 (23,940)

Pulau Pinang - 84 (18,284)

Negeri Sembilan - 42 (17,915)

Perak - 35 (14,061)

Kedah - 30 (9,081)

Kelantan - 332 (8,448)

Melaka - 15 (6,902)

Pahang - 15 (4,695)

Terengganu - 16 (3,895)

WP Labuan - 6 (2,427)

WP Putrajaya - 3 (1,275)

Perlis - 3 (349)