COVID-19: 20 kes positif dicatat, satu lagi kluster baharu dikesan

Sebanyak 20 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kes di kluster baharu iaitu Kluster Muda di Kuala Muda, Kedah yang mana mangsa merupakan seorang anggota polis. - Gambar fail | Astro Awani
Sebanyak 20 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 11 kes tersebut merupakan dari Kluster Tawar di Baling, Kedah.

Tidak ketinggalan, terdapat satu kes di kluster baharu iaitu Kluster Muda di Kuala Muda, Kedah yang mana mangsa merupakan seorang anggota polis.

"Kes baharu COVID-19 hari ini meningkat kepada 20 kes termasuk 10 kes dari Kluster Tawar di Baling, Kedah, satu lagi kluster baharu dikesan, Kluster Muda, juga di Kedah," jelas Dr Noor Hisham dalam kenyataan yang diedarkan.

Daripada 20 kes baharu itu juga, sebanyak 13 kes tempatan dilaporkan manakala bakinya merupakan kes import dengan jumlah kes aktif sebanyak 196.

Sehubungan itu, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini ialah sebanyak 9,149.

Beliau turut memaklumkan sebanyak tujuh kes dilaporkan sembuh hari ini selain empat mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta satu mangsa memerlukan bantuan alat pernafasan.

Bagaimanapun, tiada kes kematian dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal kepada 125.