KUALA LUMPUR: Sarawak terus melaporkan kes positif tiga angka dengan 219 kes dicatatkan pada hari ini menjadikan jumlah kes di negeri itu kepada 8,869.

Sibu terus menyumbang angka tertinggi dengan 80 kes diikuti Kapit (26), Bintulu (25), Kuching (18), Meradong (17), Miri (12), Samarahan (11), Serian (10), Selangau (lapan), Sri Aman (lima), Saratok (tiga) manakala satu kes di Kanowit, Sarikei,, Bukit Mabong dan Betong.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis, dua lagi kes kematian di Hospital Sibu dilaporkan.

Kedua-dua kes dilapor mempunyai ko-morbid darah tinggi, kencing manis, gout, hepatisis dan sejarah angin ahmar.

“Kes kematian ke-77 merupakan kes 7,675 berusia 74 tahun dan dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom COVID-19.

“Ujian saringan yang dijalankan mengesahkan kes positif pada 19 Februari dan meninggal dunia pada 24 Februari 2021.

“Manakala kes kematian ke-78 melibatkan kes 4,334 berusia 90 tahun yang disahkan positif menerusia saringan kontak rapat dan meninggal dunia pada 25 Februari 2021,” kata kenyataan itu.

Selain itu, JPBN Sarawak juga melaporkan pertambahan satu kluster baharu melibatkan Kluster Jalan Ho Pin di daerah Samarahan, Serian dan Kuching.

Kluster itu dipercayai wujud susulan aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Tahun Baru Cina pada pertengahan Februari lepas.

Penularan jangkitan pula dipercayai berlaku pada 11 hingga 14 Februari 2021 di beberapa buah rumah persendirian di tiga daerah tersebut.

“Indeks kes kepada kluster ini adalah wanita berusia 22 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 18 Februari lalu.

“Sehingga 25 Februari lalu, sejumlah 120 orang telah disaring yang mana 14 kes positif dikesan; 41 negatif manakala 65 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambahnya.

Kesemua 14 kes positif melibatkan kluster ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pertambahan kluster baharu ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak kepada 26.