KUALA LUMPUR: Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 225 kes positif COVID-19, dengan Miri merekodkan pertambahan tertinggi iaitu 88 kes, menjadikan jumlah kes positif kepada 13,110 kes.

Ia diikuti Kuching (32), Bintulu (30), Serian (18), Sibu (13), Sri Aman (12), Kapit (11), Meradong (tujuh), Bukit Mabong (lima), Betong dan Samarahan (empat) dan satu kes di Song.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu, satu kluster baharu melibatkan Kluster Jalan Merpati di Miri juga dilaporkan.

“Kluster ini melibatkan sebuah pusat beli-belah di Jalan Merpati, Miri dan kes indeks kluster ini merupakan kes 11,094 dikesan menerusi saringan individu bergejala di Hospital Miri pada 7 Mac 2021 dan disahkan positif hari sama.

“Menerusi siasatan dan aktiviti saringan kontak rapat, 310 individu disaring dengan 51 kes positif dilaporkan, 193 negatif manakala 66 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata kenyataan itu.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu meningkat kepada 32 kluster.

Selain itu, daerah Samarahan dan Sri Aman kini dikategorikan sebagai zon jingga selepas masing-masing merekodkan 22 dan 29 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Manakala daerah Selangau pula kembali dikategorikan sebagai zon kuning daripada zon jingga selepas mencatatkan 16 kes jangkitan tempatan dalam tempoh sama.