COVID-19: 25 kes baharu, PKPB di Kuching mulai 9 November

Astro Awani
November 7, 2020 10:26 MYT
Kuching kini masih dalam status zon merah dengan jumlah keseluruhan 151 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas. -Foto BERNAMA
KUCHING: Sarawak mencatat 25 kes positif COVID-19 hari ini menjadikan kes keseluruhan yang direkodkan setakat ini berjumlah 985 kes.
Perkembangan ini dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sidang medianya di sini, hari ini.
Kesemua kes direkodkan di daerah Kuching melibatkan empat kluster dengan Kluster Greenhill mencatat kes tertinggi iaitu sembilan kes.
“Kesemua mereka ini adalah warganegara tempatan yang berumur antara 20 hingga 68 tahun yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes-kes COVID-19 yang dikesan melibatkan Kluster Greenhill.” jelas Uggah.
Ia diikuti Kluster Wisma Saberkas (7 kes), Kluster Seladah (2 kes), Kluster Baki (1 kes)
Empat lagi kes melibatkan kes saringan kendiri sementara satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal.
Dengan perkembangan ini JPBN Sarawak mengumumkan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Daerah Kuching selama 14 hari berkuatkuasa 9 hingga 22 November 2020.
"Keputusan dibuat selepas JPBN Sarawak menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di daerah Kuching iaitu sebanyak 151 kes dalam tempoh 14 hari lepas," tambah Uggah.
Dengan pelaksanaan PKPB ini sebarang pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada PDRM.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
BACA: PKPB: Apa yang boleh, apa yang tidak
Sementara pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali keluar dan masuk ke daerah Kuching.
JPBN Sarawak akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan pada 8 November 2020.
#COVID-19 #Sarawak #PDRM #SOP #Kuching #pergerakan rentas negeri #kes positif #PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perintah kawalan pergerakan #rentas negeri #Duflas Uggah