KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 36 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Angka korban terbaharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan kini 35,099 orang, daripada 4.24 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 11 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, terdapat 192,947 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 188,534 individu atau 97.6 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 478 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 3,682 kes dirawat di hospital dan 253 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 96 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 157 lagi memerlukan mesin ventilator.