KUALA LUMPUR: Sebanyak 98.6 peratus atau 19,285 daripada jumlah kes COVID-19 baharu yang direkodkan pada Sabtu merupakan pesakit kategori satu dan dua.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan, angka selebihnya iaitu 265 kes bersamaan 1.4 peratus pula merupakan kategori 3, 4 dan 5.

Kes sembuh sekali lagi mengatasi kes harian apabila merekodkan sebanyak 21,771 kes hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif sembuh meningkat kepada 1,700,733 kes.

BACA: COVID-19: 19,550 kes baharu hari ini, Sarawak terus sumbang angka tertinggi

Tambah Dr Noor Hisham, kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,247 kes iaitu 936 daripadanya disahkan COVID-19 manakala, 311 kes masih dalam siasatan.

Daripada jumlah itu, 667 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pengunaan katil di ICU pula ialah sebanyak 1,595 bersamaan 82 peratus.

Selangor mencatatkan pengunaan katil 91 peratus iaitu 312 katil, diikuti Kuala Lumpur 174 katil bersamaan 66 peratus.

Sabah pula mencatatkan 150 katil bersamaan 84 peratus, Johor 120 katil (88 peratus), Sarawak 120 katil (87 peratus) dan Kedah 104 katil (126 peratus).