KUALA LUMPUR: Bilangan kes baharu kemasukan ke hospital pesakit COVID-19 yang bergejala serius, akan menjadi indikator peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), menggantikan bilangan kes harian yang bersifat umum.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan, pengalaman antarabangsa dan domestik, dengan penelitian  risiko penularan COVID-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Perkara itu diputuskan kerajaan semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu ini.

"MPN juga memutuskan bahawa indikator tersebut hanya akan menggantikan indikator sedia ada (iaitu bilangan kes COVID-19 harian baharu) apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam Fasa 1 telah mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

"Penanda aras bagi kes bergejala yang digunakan adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital bagi jumlah kes pesakit di dalam Kategori 3, 4 dan 5," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam penilaian untuk peralihan daripada satu fasa kepada fasa yang selanjutnya, ia masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator, termasuk penggunaan kapasiti ICU dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

"Sebagai contoh, bagi Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Melaka yang masih berada di Fasa 1, apabila mereka mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang akan diguna pakai ialah kes kemasukan hospital baharu yang bergejala.

"Seterusnya, negeri ini hanya boleh beralih ke Fasa 2 jika mencapai nilai ambang kes kemasukan hospital baharu yang bergejala (6.1 per 100,000 penduduk) dan tahap kapasiti penggunaan ICU (“Sederhana”)," ujarnya.

Justeru, katanya, penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat jika berasaskan kepada bilangan kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, berbanding jika dirujuk kepada jumlah kes baharu harian.

"Contohnya, walaupun kes harian baharu di Sarawak mencecah 400 sehari tetapi bilangan pesakit baharu Kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 pesakit atau dua peratus daripada kes harian.

"Negara-negara seperti United Kingdom juga telah mengambil pendekatan yang tertumpu kepada kadar kes bergejala dan telah terus membenarkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial berdasarkan penilaian risikonya, iaitu jumlah kes bergejala adalah rendah walaupun jumlah kes baharu masih tinggi," tambah beliau.

Sejak dari awal pengumuman PPN, kerajaan juga ujarnya telah menekankan bahawa PPN perlu bersifat dinamik, di mana semua pendekatan yang diambil adalah berdasarkan data dan sains.

"Ini termasuklah penetapan indikator dan nilai ambang untuk peralihan fasa. Penggunaan nilai indikator baharu ini akan dapat menambah baik penilaian risiko dalam mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial dalam konteks peralihan fasa PPN," kata Tengku Zafrul.