KUALA LUMPUR: Angka harian kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini, terus kekal bawah 100 apabila 89 kes direkodkan, semalam.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW menunjukkan daripada jumlah itu, 19 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 mencecah 27,770 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,371,973 kes positif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,609, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan korban akibat COVID-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 703 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 63 peratus, namun tiga negeri dan Wilayah Persekutuan masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus, iaitu Perak (76.5 peratus), Pulau Pinang (74.6 peratus), Johor (70 peratus), Sarawak (79.3 peratus).

Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu, dengan mencatat 366 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Pada masa sama, kadar penggunaan katil hospital bagi kes COVID-19 di seluruh negara ialah 68.5 peratus dengan kesemua negeri merekodkan di bawah 80 peratus.