Masyarakat tidak perlu gusar dan khuatir berkenaan dakwaan kononnya haiwan kesayangan seperti anjing dan kucing mampu menyebarkan wabak COVID-19 kepada manusia.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dalam satu kenyataan hari ini berkata buat masa ini pemilik haiwan tidak perlu menjalankan ujian pengesanan virus COVID-19 pada haiwan mereka.

“Berasaskan penemuan saintifik semasa, walaupun haiwan kesayangan boleh dijangkiti dengan virus COVID-19, namun ia tidak berbahaya kerana virus ini hanya menyebabkan jangkitan yang ringan pada haiwan tersebut.

“Virus pada haiwan berada dalam jumlah yang rendah untuk disebarkan kepada manusia,” memetik kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, pemilik haiwan kesayangan yang mengesyaki dirinya terjangkit COVID-19 dinasihati mengasingkan diri dari haiwan kesayangan.

Kenyataan itu menambah, walaupun kejadian jangkitan COVID-19 pada manusia amat tinggi namun kes di dalam haiwan kesayangan adalah terpencil kerana haiwan kesayangan didapati tidak boleh dijangkiti secara semula jadi.

Malah, pemilik haiwan kesayangan juga perlu mengamalkan kebersihan diri dan keperluan kebajikan haiwan tidak diabaikan.

Sehingga kini, punca jangkitan pada haiwan adalah daripada manusia.

Sehingga kini, punca jangkitan pada haiwan adalah daripada manusia.