KOTA KINABALU:Pesawat kedua milik Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM (A400M) yang diterbangkan ke Sabah bagi menghantar barangan bantuan kesihatan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu KKIA pada jam 11.20 malam, Jumaat.

Pesawat tersebut melakukan penerbangan ke Kuching, Sarawak pada pagi Jumaat sebelum meneruskan penerbangan ke Tawau dan kemudiannya ke Kota Kinabalu.

Barangan bantuan seberat 15 tan yang dibawa berupa kelengkapan yang dibawa dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu 150 set peralatan perlindungan diri (PPE), pelindung muka (face shield) dan coverall  jumpsuit sebanyak 50 kotak, ward screen (10 unit), troli prosedur (15 unit), gaun, pelapik kasut, kabinet keselamatan biologi, kerusi makmal dan platlet darah.

Pesawat A400M ini juga turut membawa barangan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Komoditi termasuk sarung tangan getah sejumlah 100 kotak dengan seberat 649 kilogram. 

A400M

Manakala barangan daripada Yayasan Amal Malaysia merupakan kotak tudung dua kotak, naskah Al-Quran (25 kotak), naskah Doa Darussyifa (tiga kotak), pakaian dan peralatan kesihatan.

Pesawat tersebut turut membawa barangan daripada Kementerian Pertahanan iaitu pelitup muka/PPE 
sebanyak 44 kotak serta barangan daripada Sunway Healthcare dengan peralatan ventilator (dua unit), pelitup muka (25 kotak) dan cecair pembasmi kuman (22 kotak). 



Selain itu, TUDM telah banyak memainkan peranan dalam membantu negara memerangi wabak COVID-19 dengan mengaktifkan pesawat-pesawat angkut bagi tujuan penghantaran bantuan.

Bermula 22 Mac hingga 27 Oktober lalu sebanyak 17 penerbangan atau penghantaran barangan kritikal telah berjaya dilaksanakan oleh TUDM melibatkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kilogram. 

Sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau dibawa menggunakan penghantaran oleh pesawat TUDM untuk diserahkan kepada KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal di Semenanjung.

TUDM juga turut berjaya membawa 68 petugas terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi operasi di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik COVID-19. Sejumlah 151 anggota pasukan Mobilisasi KKM turut dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu.