COVID-19: CIDB gesa kontraktor manfaatkan ujian percuma PERKESO

Astro Awani
Jun 12, 2020 04:00 MYT
PSP PERKESO adalah untuk pekerja asing sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor. - Astro AWANI
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa semua kontraktor di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menghantar pekerja asing mereka menjalani ujian COVID-19 melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
CIDB dalam satu kenyataan menjelaskan, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ujian COVID-19 adalah diwajibkan untuk semua pekerja asing di semua kawasan berkenaan.
"Pekerja asing yang telah memohon untuk menjalani ujian COVID-19 atau menunggu keputusan ujian bagaimanapun dibenarkan untuk bekerja sementara menunggu giliran untuk diuji atau keputusan ujian diperolehi, dengan syarat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelas kenyataan itu.
Pada 27 April, PERKESO melancarkan Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO yang menawarkan ujian COVID-19 secara percuma kepada pencarum.
Buat masa ini, PSP PERKESO adalah untuk pekerja asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.
Dalam pada itu kenyataan itu menjelaskan pembekal perkhidmatan PSP PERKESO berupaya menjalankan sehingga 15,000 ujian sehari dan keputusan ujian boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.
"Berdasarkan data PERKESO, sehingga kini hanya 31,301 orang pekerja asing meliputi semua sektor yang telah menjalani ujian COVID-19 melalui PSP PERKESO dan daripada jumlah itu, 40.8 peratus adalah daripada sektor pembinaan.
"Bermula 1 Jun, saringan COVID-19 di bawah PSP PERKESO boleh dijalankan di mana-mana penyedia perkhidmatan (klinik / hospital) yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Majikan-majikan di dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor boleh membuat tuntutan subsidi daripada PERKESO sebanyak RM150 bagi setiap saringan COVID-19 untuk pekerja mereka yang mencarum," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi yang masih belum mencarum dengan PERKESO, mereka boleh mendaftar sebelum menjalani ujian saringan tersebut.
#Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #percuma #perkeso #PKPP #SOP #subsidi #ujian covid