KOTA BHARU: Dua kluster COVID-19 baharu di kesan di Kelantan membabitkan kluster Long Yunus, Kota Bharu dan Banggol Lepah, Tanah Merah dengan 64 kes positif setakat ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, mereka yang disahkan positif COVID-19 itu turut membabitkan petugas barisan hadapan dan ahli keluarga.

“Kluster baharu di Kelantan ini iaitu kluster Long Yunus dan Banggol. Setakat ini terdapat 64 kes positif COVID-19 dalam kluster berkenaan,” katanya.

Jelasnya dua kluster baharu itu dikesan pada Rabu namun terkawal.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaini turut memaklumkan, sejumlah 17,036 individu di Kelantan telah menerima suntikkan vaksin.

“Vaksinasi yang kita laksanakan bermula 2 Mac lepas, setakat ini seramai 17,036 individu telah terima suntikan vaksin dos pertama dan mereka semua merupakan petugas barisan hadapan di Kelantan,” katanya.

Kesemua mereka yang terima suntikan dos kedua pada 23 Mac depan.

Kata Dr Zaini, setakat ini tiada laporan mereka yang menerima suntikkan vaksin berkenaan bergejala atau mengalami alahan teruk.

Jabatan Kesihatan Kelantan menyasarkan 70 peratus daripada 1.9 juta rakyat Kelantan akan menerima suntIkan vaksin COVID-19.