Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 berjumlah RM174.5 juta, yang dibentang dan dibahaskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini, telah diluluskan, hari ini.

Ia selepas persetujuan dicapai secara sebulat suara dalam sidang yang dipengerusikan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat.

Pakej Rangsangan dirangka bagi menangani pandemik COVID-19 itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad yang kemudiannya dibahaskan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pihak kerajaan dan tiga wakil pembangkang.

Dalam ucapan penggulungannya, Hasni berkata, keseluruhan peruntukan RM174.5 juta bagi menjayakan pelaksanaan 54 inisiatif, melalui peruntukan kerajaan negeri, pihak berkuasa tgempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.292 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1, yang diumum pada 20 Mac lepas yang memberi manfaat kepada 658 penerima menerusi empat inisiatif.

Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 2 yang diumum pada 25 Mac lepas melibatkan peruntukkan sebanyak RM28.74 juta.

Tidak ketinggalan, RM11.19 juta untuk Inisiatif Bantuan Ihsan Johor serta RM126.47 juta untuk inisiatif yang belum diumumkan meliputi sektor modal insan, pelancongan dan pembinaan.

Dalam pada itu, Hasni, yang juga ADUN Benut berkata, permasalahan COVID -19 yang sedang dihadapi seluruh negara tidak pernah dialami sebelum ini dan memerlukan semangat perpaduan antara semua wakil rakyat.

"Kita mempunyai kekuatan iaitu pengurusan fiskal yang amat baik dan kekuatan dalam menghadapi COVID-19. Kerajaan negeri ingin memberikan fokus yang serius kepada soal kemiskinan, termasuk inisiatif Bantuan Bakul Makanan dan pelaksanaan Bantuan Tunai Ihsan Johor.

"Bantuan Tunai Ihsan Johor, yang telah memanfaatkan seramai 41,565 atau 17.75 peratus daripada keseluruhan permohonan, iaitu 234,105, (manakala) 36,345 pemohon adalah penerima bantuan RM250 dan seramai 3,220 pemohon adalah penerima bantuan RM500.

"Saya akui, wujud banyak penambahbaikan yang boleh kita buat. Bantuan Tunai Ihsan Johor ini merupakan kali pertama dilakukan. Ini adalah kali pertama dilakukan pada skala begini besar, dan data dan informasi penerima yang sahih agak sukar untuk diperolehi," katanya lagi.

Terdahulu, Hasni ketika membentangkan rundingan berkenaan berkata, pakej rangsangan tersebut diperlukan memandangkan Johor dan ekonominya sangat terkesan dengan pandemik COVID-19, kejatuhan harga minyak, penutupan sempadan serta ketidakstabilan politik semasa.