PUTRAJAYA: Sebanyak 233 kes atau 1.5 peratus daripada keseluruhan 16,703 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan terdiri daripada kategori 3, 4, dan 5, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, baki 15,840 kes lagi (98.5 peratus) pula merupakan kategori 1 dan 2.

Selain itu, beliau berkata, 24,813 kes telah sembuh sepenuhnya menjadikan peratusan meningkat kepada 87.5 peratus.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,312 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 967 kes disahkan COVID-19, manakala baki 345 kes diklasifikasikan sebagai – suspected, probable dan dalam siasatan.

BACA: Kes baharu COVID-19 hari ini jatuh kepada 16,073, Sarawak masih tertinggi - KP Kesihatan 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, jumlah pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan ialah sebanyak 698 kes, di mana 444 daripadanya sah COVID-19, manakala baki 245 diklasifikasikan sebagai – suspected, probable dan dalam siasatan.

Sehingga 12 September, Dr Noor Hisham berkata, nilai R-naught (R0) seluruh negara ialah 0.98, dengan Sarawak terus mencatat nilai tertinggi (1.18), diikuti Terengganu (1.08), Johor (1.04), Perak dan Perlis (1.03), Kelantan dan Pulau Pinang (1.02), dan Pahang (1.00).

Negeri-negeri lain mencatatkan nilai R0 di bawah 1.00, dengan Labuan kekal terendah iaitu 0.
Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.