KUALA LUMPUR: Hanya 87 kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 direkodkan pada 14 Februari 2022 daripada keseluruhan 21,315 kes yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menyaksikan hanya 0.41 peratus berada dalam kategori tersebut dan selebihnya, sebanyak 21,228 kes berada dalam kategori 1 dan 2.

Tambah beliau, jumlah kumulatif kes di Malaysia kini berjumlah 3,061,550 kes.

Berikut merupakan pecahan kes mengikut kategori:

Kategori 1 : 6,200 kes (29.09 peratus)
Kategori 2 : 15,028 kes (70.50 peratus)
Kategori 3 : 48 kes (0.23 peratus)
Kategori 4 : 23 kes (0.11 peratus)
Kategori 5 : 16 kes (0.07 peratus)

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh pada Isnin ialah 8,517 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 2,860,954 kes atau 93.5 peratus.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 199 kes (94 kes disahkan COVID-19, 105 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

“Kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 115 kes (47 kes disahkan COVID-19, 68 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu bagi kes kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan, 16 kes atau 18.4 peratus pesakit didapati tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.

Katanya, sejumlah 54 kes (62.1 peratus) telah menerima dua dos vaksin COVID19 namun belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 35 kes (40.2 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas, 28 kes (32.2 peratus) mempunyai penyakit komorbid, dua kes (2.3 peratus) kes ibu mengandung.

“Lapan kes (9.2 peratus) telah meninggal dunia di mana dua (2.3 peratus) adalah kes Brought in Dead (BID),” ujarnya.