KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan hospital awam (hospital di bawah KKM, hospital universiti awam dan hospital angkatan tentera) dan swasta di bawah pengoperasian secara hibrid berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Hospital Kluster itu akan beroperasi untuk merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 mengikut arahan yang akan dikeluarkan KKM.

"Sehingga Isnin, terdapat 210 hospital swasta berlesen di mana 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam bidang perubatan dalaman. Daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan rawatan COVID-19 di mana jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil ICU (Unit Rawatan Rapi) dan 54 mesin ventilator.

"Kerajaan akan mengoptimumkan kapasiti makmal sedia ada terutama di jabatan kerajaan dan universiti awam untuk pengujian dan pengesanan COVID-19 secara berskala besar," menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai pendekatan utama yang dikenal pasti selepas sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Ali memutuskan integrasi perkhidmatan hospital awam dan swasta dalam tempoh darurat bagi memastikan koordinasi yang sistematik dan jaminan akses kesihatan menyeluruh serta bersepadu dapat dilaksanakan kepada pesakit COVID-19 dan bukan COVID19.

Dr Noor Hisham berkata bangunan kerajaan yang sesuai akan dikenal pasti di negeri atau daerah sebagai pusat pengambilan ujian calitan.

"Mobilisasi aset seperti kenderaan juga akan diselaraskan untuk perkhidmatan kesihatan umum agar lebih bersepadu dan teratur.

"Sumber perubatan seperti peralatan, peralatan perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan pula akan dimobilisasikan mengikut keperluan hospital terutama bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuk memobilisasikan anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam," katanya.

Menyentuh mekanisme pembiayaan pesakit COVID-19 oleh pihak insurans di hospital swasta, beliau berkata ia sedang diperhalusi Kementerian Kewangan, KKM, Bank Negara Malaysia dan industri insurans.

"Seperti yang disebut Ketua Setiausaha Negara, buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit COVID-19 yang mampu membayar," katanya.

-- BERNAMA