KUALA LUMPUR: Peningkatan kes COVID-19 semakin membebankan sistem kesihatan negara apabila Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat menyimpan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa platform media sosial.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) untuk merawat pesakit COVID-19 mencecah 80 peratus di seluruh negara setakat hari ini.

Beberapa negeri bagaimanapun telah merekodkan penggunaan katil ICU melebihi 80 peratus, termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Lebih 80 peratus kematian COVID-19 di negara ini merupakan golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi,” menurut ciapan KKM.

Niaga AWANI: Hospital Sg Buloh sediakan kontena


KKM turut menambah bahawa kebanyakan mangsa korban akibat COVID-19 mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat.

“Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” kata KKM lagi.


Hari ini, 36 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan melibatkan 35 warganegara dan seorang bukan warganegara.

Sabtu pula menyaksikan angka kematian harian COVID-19 tertinggi yang pernah direkodkan dalam negara iaitu sebanyak 44 kes.

Beberapa kes kematian pada Sabtu melibatkan mangsa korban yang tidak mempunyai latar belakang penyakit, termasuk dua lelaki masing-masing berusia 55 dan 58 tahun.

Sebelum ini, beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Itali dan India mula menggunakan kontena khas bagi menyimpan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19 ketika sistem kesihatan negara masing-masing tidak mampu menampung lonjakan kes jangkitan.