COVID-19: Jangan ulangi apa yang berlaku di Sabah - Dr Noor Hisham

Ridauddin Daud
Oktober 2, 2020 11:19 MYT
Tan Sri Dr Noor Hisham menegaskan, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) masih gagal dipatuhi, kes pasti naik mendadak dari semasa ke semasa. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Situasi di Sabah perlu dijadikan pengajaran oleh semua pihak jika tidak mahu kes COVID-19 terus mencatatkan angka membimbangkan pada masa hadapan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) masih gagal dipatuhi, kes pasti naik mendadak dari semasa ke semasa.
“Kita faham anda mungkin rasa penat tetapi virus itu tak pernah penat. Pada saat kita kurang berjaga-jaga, virus akan mula merebak dengan cepat.
“Situasi di Sabah adalah contoh terbaik, bila kita tidak berjaga, inilah apa yang berlaku (kes naik mendadak).
“Kita harap semua orang ambil pengajaran dan jangan lakukan perkara ini lagi,” katanya dalam sidang media khas berkaitan COVID-19 di sini pada Jumaat.
BACA: COVID-19: 287 kes hari ini, tertinggi dalam sejarah
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemaskini setiap hari)
Tambah beliau, Malaysia masih belum betul-betul menang dalam pertempuran dengan virus itu meskipun sudah berjaya menanganinya dengan baik sebelum ini.
“Kalah atau menang benar-benar bergantung kepada kita sekarang,” ujarnya.
Sebanyak 287 kes baharu positif COVID-19 setakat jam 12 tengah hari pada Jumaat sekali gus merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.
Menurut Dr Noor Hisham, negeri Kedah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 129 kes diikuti Sabah, 113 kes dan Selangor dengan 31 kes.
#SOP #kesihatan #operasi #virus #Noor Hisham Abdullah #Sabah #kes positig #kes naik #COVID-19 #coronavirus