COVID-19: Kes baharu meningkat kepada 21 kes

21 kes baharu COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,023 kes.

21 kes baharu COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,023 kes. | Astro Awani
21 kes baharu COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 9,023 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 15 kes terbabit adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Manakala, enam lagi kes adalah penularan dalam negara iaitu melibatkan warganegara Malaysia termasuk tiga kes dari Kluster Sivagangga.

"Di Kedah, tiga kes daripada Kluster PUI Sivagangga. Di Sabah, dua kes iaitu satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan satu kes saringan pra prosedur di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS).

"Di Johor, satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru (HSAJB)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,023 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 196 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," tambahnya.

Pada masa sama, terdapat 18 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,702 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujarnya.

Dalam pada itu, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.385 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.