SEREMBAN: Kes baharu COVID-19 yang melonjak sehingga mencecah empat angka di Negeri Sembilan hari ini, dikesan susulan saringan bersasar dilakukan oleh majikan terhadap pekerja, terutama dalam sektor perindustrian, selain saringan terhadap kontak rapat dan bergejala.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata saringan bersasar dilakukan oleh majikan sektor perindustrian di daerah Seremban menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes COVID-19 di Negeri Sembilan.

Beliau menjelaskan daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini, 41 peratus kes dikesan daripada kontak rapat, kluster sedia (36 peratus) dan kes sporadik (23 peratus).

"Bagi kes-kes di bawah kluster sedia ada, 78 peratus daripadanya melibatkan pekerja di sektor perindustrian, pusat jagaan khas (13 peratus) dan sembilan peratus lagi melibatkan komuniti.

"Kes sporadik adalah melibatkan saringan pekerjaan atau saringan bergejala terhadap pekerja yang terlibat dalam sektor perindustrian," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.

Negeri Sembilan merekodkan 1,086 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 36,194 kes, selain 10 kematian dilaporkan pada Khamis.

Aminuddin berkata peningkatan kes itu juga hasil saringan kontak rapat yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Beliau menyarankan orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia.

-- BERNAMA