KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 26 kluster berpunca daripada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri sejak 13 Mei lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 4,047 individu yang disaring, 1,019 kes dikenal pasti positif dalam kluster-kluster ini dengan kadar positiviti 25.1 peratus.

"Daripada jumlah 1,019 kes tersebut, dua kematian dilaporkan sehingga kini dan satu kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan sub-kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri tertinggi adalah Sabah dengan tujuh kluster (26.9 peratus), Kelantan dengan lima kluster (19.2 peratus) serta Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing dengan dua kluster (7.7 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 20 kluster rentas negeri melibatkan 1,420 kes dilaporkan sejak 1 April lalu sehingga semalam.

"Daripada jumlah itu, negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi adalah Melaka dengan lapan kluster (40 peratus), Terengganu dengan tiga kluster (15 peratus) serta Kelantan, Perak dan Pahang dengan masing-masing dua kluster (10 peratus)," ujarnya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata pihak KKM menjangkakan jumlah kes dan bilangan kluster-kluster tersebut akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.

"Meskipun Kerajaan telah menetapkan bahawa ziarah raya dan penganjuran majlis perayaan tidak dibenarkan, namun masih ramai yang tidak endah larangan ini yang mengakibatkan tercetusnya kluster-kluster baru COVID-19 sehingga ada yang mengakibatkan kes maut," katanya.

BACA: COVID-19: 98 kematian dan 9,020 kes baharu, tertinggi pernah direkodkan

Justeru, beliau menyeru masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulanginya bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.