KOTA KINABALU:Sebanyak 532 kes COVD-19 dicatatkan di Kota Kinabalu pada Isnin, menjadikannya yang tertinggi di daerah itu sejak penularan wabak itu bermula pada tahun ini.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun daripada jumlah tersebut, 439 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan.

"Pada hari ini, daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi sebanyak 532 kes dan daripada jumlah ini, 439 kes adalah dari Kluster Penjara Kepayan.

"Manakala 14 kes daripada saringan bergejala, empat daripada saringan kendiri, 68 kes daripada saringan kontak rapat, empat kes daripada saringan kemasukan hospital dan tiga kes daripada saringan sebelum bekerja," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

BACA: COVID-19: 1,240 kes baharu, 7 kematian dilaporkan

Menurutnya lagi Tawau mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 81 kes.

Jumlah tersebut melibatkan Kluster Benteng (5 kes), Kluster Tanah Merah (3 kes), saringan bergejala (5 kes), saringan kendiri (2 kes), saringan dalam komuniti (31 kes), saringan kontak rapat (33 kes), saringan kemasukan hospital (1 kes) dan saringan brought in dead (BID) (1 kes).

Secara keseluruhan jumlah kes di Sabah menyaksikan peningkatan dengan 927 kes dan tujuh kematian direkodkan.

Bilangan pesakit yang sedang menerima rawatan juga bertambah kepada seramai 7,164 pesakit berbanding 6,525 pesakit yang direkodkan pada Ahad.

Tambah Masidi kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu.

"Dalam kesempatan ini, saya menyeru semua penduduk negeri Sabah berikhtiar dan terus berdoa mengikut kepercayaan masing-masing agar negeri Sabah segera pulih dari pandemik COVID-19."katanya.