PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mengeluarkan surat pekeliling khas untuk mengecualikan guru daripada hadir ke sekolah sekiranya terdapat keperluan untuk menjalani ujian calitan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, terdapat guru yang terpaksa hadir ke sekolah walaupun bergejala kerana bimbang dikatakan sengaja ‘ponteng’ sekolah.

“Dengan adanya surat pekeliling itu, guru yang ingin membuat saringan COVID-19 mendapat pengecualian secara automatik daripada hadir ke sekolah.

“Guru yang ingin membuat saringan COVID-19 perlu memaklumkan kepada PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) supaya mereka dapat mengeluarkan surat pengesahan dan bukannya surat cuti sakit.

“Bagi pelajar pula, ibu bapa atau keluarga boleh menulis sepucuk surat untuk diberikan kepada pihak sekolah,” katanya pada sidang media mingguan berhubung situasi COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada Isnin.


[SIDANG MEDIA] Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021

Dalam perkembangan yang sama, Dr Adham berkata pihaknya meminta pelajar yang bergejala atau merupakan kontak rapat supaya tidak hadir ke sekolah.

“Walaupun pelajar itu tidak bergejala tetapi mempunyai keluarga atau kontak rapat kes COVID-19, mereka juga tidak perlu hadir ke sekolah.

“Ada kes yang kami dapati COVID-19 yang merebak di sekolah kerana dijangkiti ibu bapa, walaupun pelajar itu tidak mempunyai sebarang gejala.

“Pelajar atau ahli keluarganya yang sedang menunggu keputusan ujian COVID-19 juga tidak dibenarkan hadir ke sekolah,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 53 kluster aktif melibatkan pendidikan dilaporkan pada Isnin.

Sehingga kini, sebanyak 4,868 kes jangkitan COVID-19 dikesan melibatkan sektor pendidikan sejak Januari lalu.