KUALA LUMPUR: Hanya tinggal 1.2 peratus lagi sebelum kadar vaksinasi populasi dewasa negara mencapai 90 peratus dan kelonggaran rentas negeri diberikan berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Seramai 20,786,568 individu atau 88.8 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.6 peratus atau 22,135,242 populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 20,915,720 individu atau 64 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Pada masa sama, 74.1 peratus atau 24,200,366 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 129,152 atau 4.1 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 209,907 dos diberikan semalam, membabitkan kedua-dua kategori populasi.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 45,007,832 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.