KOTA KINABALU:Majlis sosial yang dianjurkan sempena sambutan Hari Krismas tahun lalu telah menyumbangkan peningkatan kes positif COVID-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes positif melibatkan penganjuran majlis sosial tersebut meningkat sejak Sabtu melibatkan individu dari beberapa daerah.

"Terdapat satu kluster baharu dilaporkan pada Sabtu di daerah Tambunan iaitu Kluster Batu 8 mencatatkan sebanyak empat kes menjadikan jumlah kumulatif 52 kes.

"Kluster ini dikesan berpunca dari aktiviti sosial menuai padi dan sambutan Krismas yang mencatatkan kes di dua daerah lain iaitu Ranau (tiga kes) dan Kota Belud (dua kes).

"Pada hari ini, satu kluster baharu dilaporkan di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Lintas Seraya mencatatkan sebanyak tiga kes menjadikan jumlah kumulatif 15 kes.

"Kluster ini melibatkan dua daerah iaitu Kota Kinabalu dan Penampang yang dikenalpasti melalui saringan bergejala dan hasil siasatan mendapati kluster ini berpunca dari majlis sosial iaitu makan malam perayaan krismas di sebuah restoran di Lintas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pada Ahad, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 316 kes, menjadikan jumlah kumulatif ialah sebanyak 37,869 kes dengan dua kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu kes di Daerah Penampang dan Lahad Datu.

Daripada 316 kes positif COVID-19 yang direkodkan, sebanyak 239 kes (75.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 40 kes (12.7%), saringan kluster baharu dan terdapat tujuh kes dari kluster-kluster sedia ada (2.2%), empat kes dari saringan komuniti (1.3%) dan 26 kes (8.2%) adalah dari lain-lain kategori.

"Daerah Kudat berubah dari zon jingga ke zon merah dan menjadikan bilangan daerah yang berada di zon merah sebanyak 17 buah daerah dengan dua zon hijau iaitu di Nabawan dan Tongod.

"Daerah Pitas dan Kota Marudu bertukar dari zon kuning ke zon jingga bersama tiga daerah lain," katanya lagi.