KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Brunei dalam membantu negara menangani penularan pandemik COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penghargaan tersebut dipanjangkan kepada negara jiran itu di atas sumbangan bernilai RM1.7 juta dalam bentuk alat bantuan pernafasan dan PCR COVID-19 test kit.

Menurut beliau, penghargaan itu disampaikan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatannya dari Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Pekerma Jaya Mohd. Yusof.

‘’Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya telah menzahirkan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerajaan Brunei Darussalam sebagai negara jiran terdekat Malaysia.

‘’Saya berharap sumbangan yang berharga ini akan membantu sistem kesihatan Malaysia di Labuan, Sabah dan Sarawak dalam mendepani situasi semasa,’’ kata Hishammuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Kesemua sumbangan Brunei itu, jelas beliau, akan ditempatkan di hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak bermula Julai 2021.

Tambah Hishammuddin, Malaysia amat menghargai sokongan penuh dan kerjasama berterusan daripada kerajaan Brunei dalam menangani penularan pandemik COVID-19.

Malah, katanya, melalui sumbangan ini, beliau percaya hubungan sedia ada di antara Malaysia dan Brunei akan diperkukuhkan lagi demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

‘’Sejak Mac 2020, Brunei Darussalam merupakan antara negara pertama yang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendepani cabaran serta impak berikutan penularan pandemik COVID-19.

‘’Antaranya termasuklah beberapa misi repatriasi rakyat kedua-dua negara dari Arab Saudi, India, Kemboja, Mesir dan Sri Lanka serta memudahcara urusan pulang rakyat kedua-dua negara ke Malaysia dan Brunei,’’ katanya lagi.

Selain itu, jelasnya sumbangan Brunei ini juga mempamerkan hubungan diplomatik erat dan istimewa yang telah terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara.

Bahkan, sumbangan ini turut menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis COVID-19.