KOTA BHARU: Masjid Muhammadi di sini diarah tutup kepada jemaah awam selama dua minggu bermula esok hingga 31 Mei ini selepas didapati berlaku penularan wabak COVID-19 dalam kalangan jemaah masjid itu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Zulkifle Ab Rahman berkata arahan itu dibuat atas saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu bagi membendung penularan wabak berkenaan.

"Sehubungan itu MAIK mengambil inisiatif untuk menutup masjid ini kepada jemaah awam selama dua minggu bermula esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, hanya 13 petugas masjid yang terdiri daripada imam, bilal, siak dan pengawal keselamatan dibenarkan berjemaah setelah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif daripada wabak berkenaan.

-- BERNAMA