KUALA LUMPUR: Mobilisasi agensi di peringkat daerah dan negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO) membantu mempercepatkan pendaftaran penghuni rumah orang tua untuk menerima vaksin COVID-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihak berkenaan juga perlu mencari rumah atau organisasi itu untuk memastikan golongan tua dilindungi.

"Isu ini sebenarnya kami di badan NGO dan profesional ada bincangkan sebab keadaan kita berlainan dengan keadaan negara maju di mana rumah-rumah penjagaan mereka berdaftar dan ramai sebenarnya warga-warga mereka di sana berbanding dengan di Malaysia.

"Pertama, mereka adalah golongan rentan yang sangat penting untuk diberi perlindungan, tambahan lagi mereka duduk di rumah orang tua, di mana komunitinya agak ramai.

"Jadi daripada pengalaman kami yang lepas, memang daftar sedikit, apa perlu sekarang mobilisasi," katanya semasa sidang video pada Rabu.

BACA: Vaksin COVID-19: Ikhtiar untuk tamatkan pandemik ini - KP Kesihatan

BACA: 
COVID-19: Agihan bekalan vaksin berperingkat ikut keperluan setiap PPV

Sebelum ini, pegawai yang terlibat dalam pelan vaksinasi untuk golongan tua mendedahkan, hanya satu daripada dua puluh rumah orang tua di Malaysia yang telah melakukan prapendaftaran bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekali gus menyaksikan penghuni serta kakitangan di pusat jagaan warga emas lain berdepan risiko tidak mendapat suntikan atau menerimanya dalam keadaan agak terlewat.

Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia di Universiti Putra Malaysia (MyAgeing) pula menganggarkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 1,000 rumah orang tua di Malaysia, dengan separuh daripadanya tidak diketahui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), justeru tidak dapat dihubungi.

Dalam pada itu, Dr Zainal Ariffin berkata, rakyat perlu faham fungsi vaksin yang akan melindungi penerima dari penyakit atau jangkitan serius.

Ujarnya, kesan penurunan kes hanya akan dilihat selepas tiga bulan program imunisasi dijalankan.

Dr Zainal turut menjelaskan, kerajaan seharusnya menggerakkan kempen secara besar-besaran dan menggunakan ikon masyarakat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan pengambilan vaksin.