KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memberi jaminan kualiti pendidikan tinggi negara tidak akan terjejas biarpun selepas mengharungi detik sukar berikutan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya sentiasa memastikan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan memberi keutamaan kepada kualiti pendidikan tanpa menjejaskan keselamatan serta kesihatan pelajar.

Beliau berkata, MQA juga menyediakan garis panduan kepada IPT dalam menyampaikan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada menggunakan kaedah penyampaian nota atau hibrid.

"Biar apapun mekanisme yang digunakan untuk penyampaian pengajaran, kita akan memastikan kualiti pendidikan terus dititikberatkan.

"Sekiranya, pelajar tidak mempunyai akses Internet yang baik, mungkin kaedah lain boleh digunakan termasuk seperti menghantar nota menerusi 'thumbdrive' yang pernah dilakukan satu ketika dulu.

"Bagaimanapun, sekiranya IPT mempunyai kemudahan yang canggih, bolehlah melakukan pengajaran dan pembelajaran menggunakan 'video mobile' seperti yang dilakukan Harvard University," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar perlu melihat pandemik itu daripada sudut positif kerana mampu meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka.

Katanya, dijangkakan selepas ini kebanyakan IPT akan meneruskan kaedah pembelajaran hibrid kerana ia memberi kelebihan dalam aspek meningkatkan kualiti pelajar terutama dalam aspek kepimpinan, kerja kumpulan dan pemikiran kritis.

"Jika sebelum ini mereka hanya mendengar syarahan, menghafal dan menterjemahkannya ketika peperiksaan, kini pelajar lebih banyak perlu mencari sendiri maklumat yang dibincangkan.

"Semua kemahiran ini akan mempersiapkan mereka ke tahap yang lebih baik seterusnya mampu meningkatkan kebolehpasaran golongan itu selepas tamat pengajian kelak," katanya.

Mohammad Shatar berkata, pihaknya kini juga dalam usaha memperkukuh jalinan MQA dengan agensi pengiktiraf pendidikan antarabangsa.

"Usaha ini bagi memudahkan pelajar Malaysia diterima untuk bekerja di mana-mana sahaja di serata dunia selepas kualiti pengajian yang mereka ikuti diitiraf semua pihak," katanya.