KADAR kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia pada Isnin meningkat sedikit kepada 0.88.

Nilai R-naught itu meningkat 0.01 berbanding Ahad pada 0.87.

Dalam infografik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitternya, sebanyak 12 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Putrajaya mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.08.

Ini diikuti Negeri Sembilan, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, dan Melaka.

Turut mencatat angka melebihi purata kebangsaan termasuk Kedah, Selangor, Perak serta Sabah.

Sementara itu, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak mencatat R-naught di bawah purata kebangsaan.

Labuan merekodkan sifar kes baharu COVID-19.


Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.